Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pesakit maut dalam kebakaran di hospital Jerman

    BERLIN, 1 JUN – Tiga pesakit maut manakala ramai lagi cedera, dua daripadanya dalam keadaan kritikal, dalam satu kebakaran yang berlaku pada waktu malam di sebuah hospital di bandar Hamburg, Jerman, menurut pihak berkuasa hari ini.

    Pasukan bomba telah menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran di hospital Marienkrankenhaus itu sejurus selepas tengah malam.

    Kebakaran bermula di sebuah bilik dalam wad geriatrik di tingkat bawah bangunan berkenaan sebelum merebak ke bahagian luar tingkat di atasnya. Asap tebal turut merebak ke keempat-empat tingkat bangunan tersebut.

    Punca kebakaran masih belum diketahui setakat ini.

    Menurut jabatan bomba, tiga pesakit dewasa telah disahkan maut manakala lebih 50 orang lagi cedera, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Daripada jumlah itu, dua berada dalam keadaan yang mengancam nyawa, 16 mengalami kecederaan serius manakala 36 lagi cedera ringan.

    Sebahagian kawasan hospital terpaksa dipindahkan. Pesakit yang cedera menerima rawatan sama ada di hospital tersebut atau di klinik berhampiran. Kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh kira-kira 20 minit. – AP

    Anggota bomba lengkap dengan alat pernafasan dan trak tangga bertugas di Hospital Marienkrankenhaus di daerah Hohenfelde, Hamburg, Jerman, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda