Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pesara tentera manfaatkan ilmu jadi usahawan

    IPOH, 14 JAN – Isu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terabai lantaran tiada kemahiran lain sekalipun usia masih muda, pernah mendapat perhatian masyarakat tidak berapa lama dahulu. Golongan yang telah menyumbang sebahagian besar daripada usia mereka berkhidmat mempertahankan kedaulatan Malaysia perlu dibantu bagi membolehkan mereka meneruskan hidup.

    Sehubungan itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang ditubuhkan pada 1994 diberi tanggungjawab memastikan anggota ATM yang bakal bersara daripada perkhidmatan mampu berdikari apabila kembali menjadi orang awam.

    Bernama menemui tiga kisah daripada pesara-pesara ATM yang kini dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan teratur setelah memanfaatkan program yang dilaksanakan Perhebat.  

    Dari udara ‘mendarat’ di kedai dobi

    Menghabiskan 26 tahun daripada usianya sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, bekas Pegawai Waran Udara 1, Mohd Rizal Mohd Rajab usahawan berusia 50 tahun kini menyediakan perkhidmatan dobi.

    “Saya buka kedai dobi pada 2020 semasa penularan COVID-19 menghampiri kemuncak dan negara di bawah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Memang mencabar, satunya kerana banyak agensi kerajaan tutup, keduanya nak cari kedai.

    “Namun, Alhamdulillah, semasa PKP itu ada tempoh jabatan kerajaan dibuka sekejap. Jadi, ketika itulah saya uruskan semua urusan yang berkaitan. Ketika itu juga hanya perkhidmatan dobi sahaja dibenarkan beroperasi, dobi jenis lain (layan diri) tidak dibenarkan,” kongsinya ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.

    Bercerita tentang minatnya dalam bidang dobi, arwah ibunya telah mendidik beliau menjaga kebersihan serta melakukan kerja rumah sejak kecil lagi agar dapat dicontohi oleh adik-adiknya.

    “Jadi sebelum bersara, saya lihat semula kemahiran dan minat saya. Dari situ saya tahu, ini (dobi) yang saya boleh buat. Apabila saya tengok kursus-kursus yang ditawarkan Perhebat ada dobi, saya terus pilih bidang itu,” ujar Rizal. 

    Beliau yang berasal dari Mersing, Johor, berkata beliau menjalani kursus selama 18 bulan di Perhebat Sungai Buloh, Selangor  yang meliputi semua aspek pengurusan perniagaan dobi sebelum bersara.

    “Saya juga bersyukur kerana terpilih menerima geran Skim Sokongan dan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar, Kementeri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2023. Dana itu saya gunakan untuk tambah baik peralatan di kedai dobi saya ini,” katanya yang berterima kasih kepada Perhebat Ipoh kerana banyak membantunya dalam mengendalikan perniagaan itu.

    Nama kedainya, Loadmaster Laundry juga dipilih kerana kaitan dengan tugasnya ketika beliau menerangkan, “saya bertugas di Unit Kuartermaster (Udara) dan berperanan sebagai loadmaster, iaitu kru paling belakang dalam pesawat kargo. Loadmaster ini semua benda dia buat,” jelasnya.

    Atas & Bawah: Mohd Rizal menunjukkan sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) miliknya di hadapan keda dobinya.- Bernama

    Belajar dari kosong

    Sementara Hasrul Affendi Norizan pula adalah seorang bekas anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) tercari-cari bidang yang sesuai dengan jiwa.

    “Saya hanya terfikir untuk menceburi bidang perniagaan berkaitan ketukangan dalam tempoh enam bulan terakhir sebelum bersara.

    “Semasa kursus enam bulan itu, Perhebat ajar serba sedikit tentang apa yang kita nak buat sebagai kerjaya kedua selepas bersara. Mereka ajar saya dari sifar pengetahuan sehingga dapat buat lakaran dan kemudian cara potong papan,” kongsi pesara berumur 44 tahun itu.

    Berkhidmat selama 21 tahun dalam TDM, bekas anggota Rejimen Renjer ini tidak menyesal terlibat dalam bidang pembuatan perabot seperti almari pakaian dan kabinet dapur.

    Sebelum memulakan perniagaan itu, beliau terlebih dahulu melakukan eksperimen dengan menghasilkan kabinet dapur di rumahnya pada 2021. 

    “Saya tanya ahli keluarga, sama ada okey atau tidak kabinet dapur yang saya buat. Mereka beri jawapan positif. Kemudian pada 2022, adik perempuan saya minta buatkan kabinet televisyen di rumahnya. Mula-mula saya risau kerana melibatkan bayaran. Selepas berbincang dengan isteri, saya kumpul kekuatan dan terima tempahan itu,” jelasnya.

    Bermula dari kabinet televisyen adiknya, beliau mula menerima tempahan daripada orang lain yang suka dengan hasil kerjanya.

    “Akan tetapi, setiap perniagaan pasti ada risiko. Saya sendiri pernah tidak ada sebarang projek selama tiga bulan pada 2023. Atas sebab itu jugalah buat masa ini saya tidak menggaji pekerja tetap,” katanya yang mengakui masih bertatih dalam bidang itu.

    Ditanya tentang perancangannya, beliau berhasrat meningkatkan kemahiran agar perniagaannya dapat berkembang.

    “Sekarang ini saya hanya buat kabinet berasaskan kayu. Saya nak belajar lagi cara-cara  buat kabinet menggunakan aluminium pula sebab sekarang kita ikut peredaran zaman, (pemilihan) aluminium ini atas faktor ketahanan.

    “Saya belum ada pendedahan kepada cara-cara menggunakan aluminium dalam pembuatan perabot. Jika Perhebat ada anjurkan kursus ini saya pasti akan mohon,” katanya yang pada masa ini banyak belajar daripada YouTube bagi meningkatkan kemahiran.

    Atas & Bawah: Hasrul Affendi Norizan melakukan kerja-kerja pemasangan kabinet dapur. – Bernama

    Hampir dua dekad berniaga

    Bagi Ismail Yaacob, 59, yang bersara daripada ATM selepas 22 tahun berkhidmat, beliau tidak menyesal berkecimpung dalam bidang membaiki basikal hampir dua dekad yang lalu.

    “Hajat asal saya nak buka pasar mini (kedai runcit), jadi dalam tempoh enam bulan sebelum bersara saya sertai kursus dalam bidang peruncitan dengan Perhebat.

    “Akan tetapi, dalam tempoh itu ada yang datang promosikan basikal dan mencetuskan minat saya dalam bidang berkaitan basikal. Tambahan pula, tidak seperti kedai runcit yang ada pelbagai risiko seperi barang rosak, tidak habis dijual dan lain-lain, kebimbangan dalam perniagaan basikal cuma ketiadaan pelanggan,” kongsi bekas anggota Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja, TDM ini. 

    Menurutnya, sebelum terlibat dalam bidang pembaikan basikal itu, beliau langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang basikal, apatah lagi untuk membaikinya.

    “Sekarang pun bukan senang nak jumpa kedai basikal biasa. Kalau ada pun lebih kepada basikal high-end. Saya pula fokus pada basikal budak-budak yang berharga RM100 ke RM400,” katanya, menambah perniagaan itu juga ‘bermusim’ seperti bermulanya cuti sekolah. 

    “Ketika musim ini saya jadi ‘pening’ (sibuk) kerana nak uruskan pembaikan dan juga pelanggan seperti kilang dan pihak sekolah yang beli basikal untuk dijadikan hadiah,” ujarnya. – Bernama

    Ismail Yaacob melakukan kerja-kerja membaiki basikal di kedainya.- Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda