BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Perintah Ketidaksolvenan (Pindaan) 2017, Insolvency (Winding Up) (Fee) Rules 2017 dan Insolvency (Judicial Management) Rules 2017 yang dihasratkan mengukuhkan lagi rangka perundangan ketidaksolvenan di negara ini dan berkuat kuasa mulai 29 Mei 2017.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengatakan Perintah Ketidaksolvenan (Pindaan), 2017 ini mengandungi pindaan-pindaan yang menjurus kepada meningkatkan keterlibatan pemiutang dalam membuat keputusan penting di dalam proses ketidaksolvenan sesebuah syarikat.
Antara lainnya, dengan pindaan ini, perlantikan dan pemilihan pelikuidasi (liquidator) hendaklah mendapat kebenaran pemiutang.
Seterusnya, pemiutang juga diberikan hak untuk mendapatkan semua maklumat mengenai dengan prosiding ketidaksolvenan syarikat termasuk maklumat mengenai dengan rekod-rekod kewangan syarikat itu agar para pemiutang sentiasa maklum mengenai dengan kedudukan kewangan syarikat berkenaan.
Dengan meningkatkan perlindungan dan penyertaan pemiutang dalam prosiding ketidaksolvenan, diharapkan ianya akan dapat meningkatkan kadar hutang yang boleh didapatkan semula daripada syarikat-syarikat yang tidak solven.