Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga premis patuhi akta sukatan, kawalan harga

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Sebanyak 12 unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perdagangan didapati telah mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) 1994 semasa operasi bersepadu iaitu lawatan mengejut ke tiga buah premis perniagaan di Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara pada 11 Oktober lalu.

    Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) bersama Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Pihak SDT turut mengingatkan para peniaga untuk mempamerkan tanda berat bersih bagi barangan berbungkus untuk memudahkan pengguna membuat pilihan dan mengatur perbelanjaan dengan bijak.

    Sementara itu, pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak JPES mendapati semua premis perniagaan yang diperiksa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

    Barangan kawalan seperti minyak masak dan susu tepung formula tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan, manakala tanda harga di premis-premis tersebut dipamerkan dengan jelas dan betul.

    Para peniaga turut diingatkan setiap alat sukatan dan timbangan yang digunakan untuk tujuan perdagangan hendaklah didaftarkan dengan Unit SDT selaras dengan peruntukan undang-undang.

    Kegagalan mematuhi syarat di bawah akta berkenaan merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak $1,000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

    Dalam pada itu, para peniaga juga dinasihatkan supaya menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dengan memastikan barangan kawalan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan serta tanda harga dipamerkan dengan jelas dan tidak mengelirukan pengguna.

    Senarai harga maksimum terkini bagi barangan kawalan boleh diperoleh melalui laman sesawang JPES di www.deps.mofe.gov.bn.

    Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau talian 2383142 dan JHEP melalui talian Darussalam 123 atau e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan operasi bersepadu di salah satu premis perniagaan di Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara pada 11 Oktober lalu. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda