Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga produk dicemari bahan terlarang

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Satu produk ubat kesihatan dan dua produk kosmetik telah didapati dicemari dengan bahan terlarang dan tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal yang dijalankan Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan produk Majun Resdung yang dikilangkan CT Aleys dicemari dexamethasone, manakala itu, produk kosmetik yang dikilangkan di Filipina iaitu Fairy Skin Glowing Facial Set – Glowing Facial Toner dan Skin Magical Rejuvenating Set 1 – Rejuvenating Cream No.1 didapati dicemari hydroquinone.

    Kenyataan menjelaskan, bahan pencemar dalam produk itu boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Penggunaan kortikosteroid dexamethasone secara berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

    Ia juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang mana dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukan berlaku pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil. Dalam pada itu, pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.

    Manakala itu, penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatan risiko kanser kulit. Hydroquinone pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ianya dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik). Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk tersebut dan produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta.

    Fairy Skin Glowing Facial Set – Glowing Facial Toner.
    Majun Resdung.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda