Tiga rakyat Malaysia di Singapura disahkan positif

SINGAPURA, 14 APRIL – Tiga rakyat Malaysia merupakan antara 386 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan pada Isnin, peningkatan harian tertinggi di republik ini setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,918 kes.

Menurut statistik harian Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura yang dikeluarkan semalam, seorang daripada rakyat Malaysia itu adalah lelaki berumur 26 tahun yang berkaitan dengan kluster baharu sebuah asrama di Jalan Kubor yang ketika ini merekodkan tujuh kes. Dua lagi rakyat Malaysia dinyatakan sebagai kes tempatan yang tiada kaitan.

Menurut MOH, kluster jamuan malam di SAFRA Jurong pada 15 Feb telah ditutup memandangkan tiada lagi kes direkodkan bagi dua tempoh inkubasi lepas. Selain kluster asrama, Singapura melaporkan tiga lagi kluster baharu termasuk dua asrama pekerja asing iaitu asrama Tech Park Crescent di Tech Park Crescent dan asrama Kranji di Kranji Way. S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link adalah kluster terbesar di republik ini dengan jumlah keseluruhan 586 kes yang disahkan setakat ini. – Bernama