Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Tiga buah rumah ranap dijilat api manakala dua lagi rumah berdekatan rosak akibat bahang api dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Tamoi Tengah, baru-baru ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataannya hari ini, mengongsikan bahawa anggota bomba telah berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak kurang dari 15 minit.
Operasi memadam kebakaran melibatkan empat buah perahu bomba dan sebuah jentera bomba serta seramai 23 anggota bomba dari Balai Bomba Pelancaran, Balai Bomba Sungai Kebun dan bantuan dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Operasi, SSFR Amirul Hadi bin Haji Junaidi.
Kerja-kerja memadam api telah dilaksanakan oleh anggota bomba dengan menggunakan enam jet hose 64mm ke 38mm dan air diperolehi dari sumber air terbuka. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada korban jiwa dilaporkan.
Antara agensi kerajaan yang turun ke lokasi kebakaran termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Daerah Brunei dan Muara serta juga penghulu dan ketua kampung.
Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya sentiasa memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan keselamatan kebakaran iaitu alat pemadam api ringkas jenis debu kering 2kg dan selimut api.
Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk memastikan mana-mana suis peralatan elektrik ditutup selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah dan jangan meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran gas pastikan buka jendela dan pintu bagi pengudaraan.
Di samping itu, jabatan itu turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak jabatan elektrik.
Di kesempatan itu juga, JBP ada menyediakan program-program seperti Kursus Life Saver 995, Kursus Marsyal Bomba dan taklimat keselamatan kebakaran bagi meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran.



