Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki mereka hari ini, telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah di hadapan pegawai pengislaman dari Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong, Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).
Pengislaman Tindi bin Kasi yang berbangsa Dusun dan isterinya, Januyah Anak Janol berbangsa Iban berserta anak mereka, Saiful Asami bin Tindi telah diadakan di kediaman mereka di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat.
Dengan pengislaman itu, Tindi, 75, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Hannan Affandi bin Kasi dan isterinya yang berusia 65 tahun memilih nama Islamnya sebagai Nur Sumayyah binti Zainul ‘Arifin, manakala anak mereka berusia 33 tahun kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Saiful Azmi bin Muhammad Hannan Affandi.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada PDI kepada saudara-saudara baharu yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Kemudian, majlis diserikan lagi dengan laungan Dikir Marhaban dan taburan bunga rampai dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa; Ketua Kampung RPN Bukit Beruang, Daerah Tutong, Haji Moksin bin Haji Moktar dan Pemangku Ketua Kampung Merangking, Daerah Belait, Awang Raimie bin Abdullah Munchong.
Sejak awal Januari hingga 27 Mei lalu, seramai 131 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam dan daripada jumlah tersebut, 27 orang adalah dari Daerah Tutong.
