Thursday, April 17, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga sertai ISYF Digital 2022

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seorang guru dan dua orang pelajar Brunei Darussalam telah menyertai Forum Belia Sains Antarabangsa (ISYF) Digital ke-14 yang dianjurkan oleh Hwa Chong Institution (College Section) dan disokong oleh Kementerian Pendidikan, Singapura pada 18 hingga 21 Januari lalu.

    Penyertaan Awangku Abdul Ghafur Ur Rahman bin Pengiran Abdul Rahman secara maya dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dan Dayang Syafiah Widadina binti Haji Mohamad Sahraini dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dengan Dayang Hanis Jasmine binti Zaini dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan selaku guru pengawas dan mentor kepada para pelajar berkenaan, telah diselaraskan oleh Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Kementerian Pendidikan.

    Seramai 111 orang peserta dari 12 negara iaitu Australia, Brunei Darussalam, China, Hong Kong SAR, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam telah menyertai forum berkenaan.

    Menurut kenyataan yang diberikan, ISYF Digital 2022 merupakan forum tahunan yang bertujuan bagi menyediakan landasan bagi pelajar-pelajar yang berumur antara 16 dan 17 tahun untuk berinteraksi dengan Nobel Laureates dan saintis terkemuka dalam bidang sains di mana tema bagi tahun ini adalah Sparking Innovation, Igniting Collaboration.

    Melalui forum tersebut, para peserta berpeluang menyertai Cabaran Projek Berpasukan, menyaksikan Pameran Projek dan berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel dan saintis terkenal dalam sesi Meet the STEM Changemaker Session.

    Acara kemuncak adalah penyampaian ucaptama berkenaan Computing Technologies for the Future oleh penerima hadiah Millennium Technology, Profesor Stuart Parkin.

    Para pelajar telah membentangkan projek mereka yang bertajuk Effect of Video Games on Adolescents in Brunei during the Pandemic secara pra-rakaman semasa pameran projek.

    Pembentangan itu juga telah dimuat naik ke laman sesawang ISYF Digital 2022.

    Forum tersebut juga membantu memperkaya dan meningkatkan kecekapan pedagogi guru melalui perbincangan dan berkongsi idea serta amalan profesional mengenai Challenges and Opportunities for Science Education in the New Normal dalam kalangan para guru dari negara-negara peserta.

    Antara peserta yang menghadiri ISYF Digital ke-14 yang dianjurkan oleh Hwa Chong Institution baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda