Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga singa dapat ‘rumah baharu’ di Perancis

    ARNAY-SOUS-VITTEAUX, PERANCIS, 26 JAN – Tiga singa yang dibesarkan dalam kandang di Ukraine tiba di taman hidupan liar di Perancis hari ini setelah diselamatkan dari negara yang dilanda perang, kata seorang wartawan AFP.

    Atlas, singa jantan dan dua singa betina Luladja dan Queen – ketiga-tiganya berusia sekitar dua tahun – tiba awal hari di taman Auxois di Burgundy, timur Perancis selepas perjalanan hampir 90 jam merentasi Eropah.

    Penyelamatan haiwan itu adalah usaha terbaru daripada organisasi perlindungan haiwan untuk menyelamatkan kucing besar yang menderita akibat pergolakan perang Rusia menentang Ukraine dan daripada eksploitasi manusia.

    Atlas diserahkan oleh seorang wanita berhampiran Kyiv yang telah menjaganya sejak kecil, kata Charlotte von Croy, yang bertanggungjawab atas penyelamatan kecemasan di Dana

    Antarabangsa untuk Kebajikan Haiwan (IFAW), sebuah pertubuhan bukan untung AS.

    Gambar Freepik

    “Ia menjadi terlalu agresif, mungkin kerana pengeboman,” katanya kepada AFP.

    Singa itu mempunyai berat badan berlebihan iaitu 294 kilogram, berbanding dengan berat normal di bawah 200 kilogram selama dua setengah tahun.

    Kedua-dua singa betina itu ditemui di timur Ukraine di mana ia mungkin juga dipelihara oleh individu persendirian yang melarikan diri daripada pertempuran, kata Von Croy.

    Ketiga-tiganya telah diambil oleh NGO tempatan, Wild Animal Rescue, yang kemudian menghubungi taman haiwan di luar negara yang bersedia memberinya rumah baharu.

    “Ia memang sesuatu yang sukar,” kata Von Croy.

    Sebaik sahaja rumah baharu itu selamat, ketiga-tiga kucing itu dibawa ke Perancis melalui Poland, perjalanan selama 88 jam.

    Taman Auxois, yang memelihara kira-kira 500 haiwan, sudah mempunyai seekor singa betina, kata pengarahnya, Geoffrey Derahaye. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda