NEW DELHI, 7 OGOS – Tiga suku kanak-kanak di Asia Selatan kini berdepan suhu tinggi berbahaya, tahap tertinggi di seluruh dunia, dengan kesan perubahan iklim yang semakin berkembang, PBB memberi amaran hari ini.
Kira-kira 460 juta atau 76 peratus kanak-kanak terdedah kepada kepanasan ekstrem di Asia Selatan, berbanding sepertiga kanak-kanak di seluruh dunia, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Dengan dunia yang semakin panas, data jelas menunjukkan nyawa dan kesejahteraan berjuta-juta kanak-kanak di seluruh Asia Selatan semakin terancam oleh gelombang panas dan suhu tinggi,” kata Sanjay Wijesekera, Pengarah Serantau UNICEF untuk Asia Selatan.
PBB memberi amaran kanak-kanak di Afghanistan, Bangladesh, India, Maldives dan Pakistan berada dalam ‘risiko sangat tinggi akibat perubahan iklim, dengan mentakrifkan suhu tinggi ekstrem sebagai 83 hari atau lebih dalam setahun melebihi 35 darjah Celsius.
Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan suhu dengan cepat dan tidak dapat mengeluarkan lebihan haba dari badan mereka.
“Kanak-kanak kecil tidak mampu menangani panas,” tambah Wijesekera.
“Melainkan kita bertindak sekarang, kanak-kanak ini akan terus menanggung kesan gelombang panas yang lebih kerap dan lebih teruk dalam tahun-tahun mendatang.”
Sekitar 1.2 darjah Celsius peningkatan suhu global sejak akhir abad ke-19, yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil, telah menjadikan gelombang panas lebih teruk, lebih lama dan lebih kerap berlaku, serta memperhebatkan fenomena cuaca lain seperti ribut dan banjir.
Julai merupakan bulan yang paling panas yang pernah direkodkan di seluruh dunia, dengan bahang panas teruk diburukkan lagi oleh pemanasan global yang mempengaruhi puluhan juta orang di sebahagian Eropah, Asia dan Amerika Utara.
Para saintis menyatakan dunia perlu menyesuaikan diri dengan kepanasan dan impak lain yang telah berlaku akibat pengeluaran gas karbon – dan pencemaran karbon mesti dikurangkan secara drastik pada dekad ini untuk mengelakkan keadaan yang lebih teruk pada masa depan. – AFP