LONDON, 31 Mei – Polis Manchester semalam melepaskan tiga lelaki yang ditahan berhubung dengan serangan pengganas pada 22 Mei di konsert pop di bandar Britain itu.
Seramai 11 orang masih ditahan di Britain ekoran pengeboman berani mati di Arena Manchester di mana bintang AS Ariana Grande mengadakan pertunjukan.
Dua puluh dua orang, termasuk tujuh orang kanak-kanak, terbunuh dalam serangan. Dua lelaki, berusia 20 dan 24 tahun, dibebaskan semalam selepas ditahan di selatan Manchester pada 24 Mei berhampiran dengan tempat tinggal pengebom Salman Abedi.
Seorang lelaki berusia 37 tahun, ditahan sehari kemudian di kawasan Blackley di utara Manchester juga dibebaskan tanpa dakwaan. “Pembebasan beberapa orang boleh dijangkakan dalam siasatan ini tatkala kami membenarkan cerita yang telah diberikan,” kata Russ Jackson, ketua unit cegah keganasan kawasan barat laut.

Bapa dan abang Abedi juga ditahan di Libya, di mana pihak berkuasa berkata kedua-dua adik-beradik adalah anggota kumpulan Islamic State yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.
Dilahirkan di Britain kepada ibu bapa warga Libya, Abedi dipercayai telah pulang daripada satu kunjungan ke Libya beberapa hari sebelum pengeboman.
Penyiasat berkata beliau sendiri membawa komponen utama bom dan sentiasa bersendirian pada hari-hari sebelum serangan. “Adalah penting kami memastikan dia bukan sebahagian daripada rangkaian yang lebih luas dan kami belum mengetepikannya lagi. Masih timbul beberapa perkara yang membimbangkan kami mengenai tingkah lakunya sebelum serangan dan rakannya yang perlu kami cari puncanya,” kata Jackson. – AFP