Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Tiga suspek yang libat dalam kegiatan pelacuran telah ditahan oleh Unit Siasatan Penumpasan Perjudian, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam satu serbuan baru-baru ini.
Suspek-suspek berkenaan terdiri daripada dua wanita warganegara asing dipercayai menjalankan aktiviti menawarkan khidmat seks manakala seorang lelaki warganegara asing disyaki bertindak sebagai bapa ayam kepada wanita-wanita berkenaan telah ditahan dalam serbuan pada 29 Oktober di sebuah hotel penginapan di kawasan Gadong.
Turut ditemui di tempat serbuan adalah bahan-bahan bukti seperti telefon bimbit, matawang Brunei dan asing yang dianggarkan berjumlah BND $500, kondom dan minyak pelincir dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti tidak bermoral berkenaan.
Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk dijalankan siasatan di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22bdan Seksyen 3(1)(a) Perlindungan Perempuan-Perempuan dan Gadis-Gadis Penggak 120 iaitu kesalahan menjual perempuan untuk pelacuran.
Pihak polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.
Antara bahan-bahan bukti yang ditemui semasa serbuan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB