Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga syarikat dikenakan kompaun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Dua buah syarikat telah dikenakan kompaun sebanyak $500 setelah didapati melakukan kesalahan membuang kotoran bekas minyak kenderaan dan sampah perniagaan di tempat awam, sekitar kawasan Tungku Link.

    MB Star Euroauto Sdn Bhd dan The Tyreshop Company dikenakan kompaun di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (c) dan (d) semasa Operasi Bersepadu Bersih 13/2020 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), Jabatan Pengangkutan Darat dan Bahagian Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan pada 25 Julai lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran BSB, di sini, hari ini, hasil pemeriksaan juga mendapati dua buah bangunan tambahan dibina tanpa kebenaran iaitu garaj dan stor penyimpanan tayar di atas tanah kerajaan berdekatan premis berkenaan.

    Kenyataan menyatakan bahawa kes berkenaan akan dihadapkan ke jabatan yang berkaitan bagi tindakan selanjutnya.

    Sementara itu, sebuah syarikat iaitu Bismi Enterprise, dikenakan kompaun sebanyak $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (b) kerana membuang sampah perniagaan di kawasan tempat awam sekitar kawasan Tungku Link.

    Dalam kes itu, syarikat-syarikat berkenaan dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran BSB dalam tempoh tujuh hari.

    Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

    Jabatan Bandaran BSB juga memperingatkan supaya syarikat-syarikat perniagaan dan orang ramai tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.

    Pembuangan bekas minyak kenderaan dan sampah perniagaan di tempat awam dikesan dalam Operasi Bersepadu Bersih 13/2020. – Gambar serahan Jab. Bandaran BSB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda