KUALA LUMPUR, 29 DIS – Tiga syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.
Oleh itu, beliau berkata masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.
“Jangan terpengaruh dengan maklumat tersebar di media sosial yang menyebarkan pelbagai andaian dan dakwaan kartel daging ini adalah haram dan sudah berlaku lebih 40 tahun,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di syarikat pengimport daging sejuk beku di Fatric Sdn Bhd di Selayang di sini, hari ini.
Rosol berkata lawatan ke syarikat tersebut bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa bekalan daging yang terdapat di pasaran adalah halal.
Terdahulu di Dewan Negara hari ini Rosol berkata sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku yang dipercayai berkaitan dengan kartel daging haram di Johor akan didakwa di mahkamah esok kerana menggunakan logo halal palsu pada kenderaannya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan cuba melindungi pihak dan syarikat yang terlibat dalam perkara yang menimbulkan keresahan umat Islam di negara ini.
“Bukan kita tidak mahu mendedahkan syarikat yang terlibat, namun masalahnya perkara ini dilakukan oleh sebuah syarikat pengumpul daging, yang kemudiannya menggunakan logo syarikat lain (mangsa) yang terkenal dan mempunyai permintaan tinggi untuk memasarkan produk itu.
“Kalau kita mendedahkan nama syarikat yang jadi mangsa itu, ia akan mencalarkan imej syarikat berkenaan sedangkan itu bukan salah mereka,” katanya pada sesi penggulungan usul kartel daging haram yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin.
Lebih sembilan orang Senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan isu itu, selepas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim membenarkan usul itu dibahaskan mengikut Peraturan 17 (1).
Rosol menjelaskan kerajaan tidak pernah memandang remeh berkenaan isu itu dan telah melakukan beberapa tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat. – Bernama