Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Tiga teknik ikatan mudah peralatan terminal

    Oleh Raz AS

    Bahagian ikatan merupakan titik lemah pada tali pancing kita. Dengan ikatan yang salah, kekuatan tali boleh berkurangan sehingga lebih daripada separuh kekuatan asalnya.

    Teknik ikatan tidak semestinya perlu rumit, namun apa yang penting ikatan tersebut mampu bertahan menerima gasakan ketika pertarungan.

    Di sini penulis senaraikan tiga jenis teknik ikatan popular, yang ringkas dan mudah, untuk mengikat peralatan terminal seperti kili-kili dan mata kail. Teknik-teknik ikatan ini sesuai digunakan menggunakan tali pancing jenis monofilament dan fluorocarbon.

    Improved Clinch Knot
    Ikatan Improved Clinch Knot merupakan versi yang telah dinaiktarafkan daripada ikatan Clinch biasa. Ia mudah dan cepat untuk dibuat, namun kurang sesuai gunakan untuk tali yang tebal dan karau.

    Cara-cara mengikat Improved Clinch Knot adalah pertama sekali masukkan hujung tali ke dalam lubang mata kail atau kili-kili, kemudian lilitkan ke pangkal tali sekurang-kurangnya sebanyak lima kali lilitan, mengikut ketebalan tali yang digunakan.

    Kaedah mengikat ikatan Palomar sangat mudah dikuasai oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira tahap kemahiran dan pengalaman masing-masing, sama ada bagi pemancing lama mahupun baharu. – Agensi

    Lebih tebal tali yang digunakan maka lebih kurang jumlah lilitan yang dibuat.

    Setelah itu masukkan hujung tali ke dalam lingkaran pertama terhasil melalui lilitan tersebut di belakang bulatan lubang mata kail atau kili-kili.

    Langkah seterusnya adalah memasukkan hujung tali ke dalam bulatan besar yang terhasil.

    Akhir sekali, basahkan tali dan tarik untuk mengencangkan ikatan dan potong lebihan hujung tali untuk mengemaskannya.

    Ikatan ini pada pendapat penulis adalah sangat sesuai digunakan untuk set pancingan ringan di mana mata kail dan kili-kili yang digunakan adalah bersaiz kecil.

    Meskipun boleh digunakan untuk set pancingan yang lebih berat namun banyak lagi teknik ikatan lain yang lebih sesuai dan lebih kuat untuk digunakan bagi tujuan tersebut.

    Palomar knot
    Palomar knot
    adalah salah satu teknik ikatan pantas dan ringkas yang boleh dihasilkan dalam sekelip mata serta menjanjikan kekuatan yang boleh dipercayai.

    Teknik ikatan ini sangat popular di kalangan pemancing di seluruh dunia dan juga mejadi salah satu teknik ikatan kegemaran penulis kerana ia tidak pernah mengecewakan.

    Kaedah mengikat ikatan Palomar sangat mudah dikuasai oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira tahap kemahiran dan pengalaman masing-masing, sama ada bagi pemancing lama mahupun baharu.

    Untuk membuat ikatan ini langkah pertama yang perlu dibuat adalah untuk melipatkan tali pancing, yang kemudiannya dimasukan ke dalam lubang mata kail, kili-kili atau lure yang hendak diikat.

    Setelah itu buatkan simpulan biasa dan masukkan mata kail, kili-kili atau lure ke dalam bulatan yang terhasil daripada lipatan tali.

    Basahkan tali dan kemudian tarik hujung tali dan pangkal tali pada arah yang sama untuk mengencangkan ikatan. Potongkan lebihan tali untuk mengemaskannya.

    Easy Snell knot
    Rata-rata kebanyakan pemancing yang penulis kenal atau temui sering menggunakan teknik ikatan ini atau sekurang-kurangnya mengetahui cara-cara membuatnya.

    Easy Snell Knot adalah merupakan teknik ikatan mata kail yang pertama sekali dipelajari oleh penulis daripada ayah penulis ketika zaman kanak-kanak dahulu dan juga menjadi salah satu teknik kegemaran penulis.

    Berdasarkan pengalaman menggunakannya, Easy Snell Knot boleh dikatakan sebagai teknik ikatan mata kail yang mempunyai kekuatan yang boleh dipercayai dan diharap.

    Bukan itu saja, pemancing profesional elit Amerika Syarikat, Kevin Hawk, turut mengesyorkan penggunaan ikatan ini.

    Teknik membuat ikatan ini adalah pertama sekali masukkan hujung tali pancing ke dalam lubang mata kail dari arah depan, setelah itu tahankan tali pancing ke batang mata kail dengan jari sambil hujung tali dililitkan ke batang pancing dan tali tersebut.

    Jumlah lilitan adalah bergantung pada ketebalan tali yang digunakan.

    Langkah seterusnya adalah memasukkan hujung tali yang dililitkan tadi ke dalam lingkaran tali yang terhasil di bahagian bawah lilitan tersebut.

    Tarik hujung tali perlahan-lahan, basahkan tali dengan air, kemudian tarik hujung tali dan pangkal tali bagi mengemaskan ikatan.

    Sebagai langkah terakhir, tahan mata kail dan tarik pangkal tali agar ikatan kemas berada di bawah lubang mata kail. Setelah itu potongkan lebihan hujung tali dan ia siap digunakan.

    Ikatan ini juga boleh digunakan untuk mengikat mata kail yang tidak mempunyai lubang atau eyeless hook.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...