BRUSSELS, 13 MEI – Tiga tentera Belgium dimasukkan ke hospital kelmarin selepas cedera dalam insiden tembakan semasa latihan ketenteraan di Scotland, kata Kementerian Pertahanan Belgium.
“Mereka menerima pertolongan cemas dan kemudian dipindahkan ke hospital tempatan. Selain itu, kira-kira 12 tentera mengalami kerosakan pendengaran,” kata satu kenyataan, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai keadaan mereka.
“Siasatan telah dilancarkan untuk mengetahui keadaan sebenar kejadian itu.” Kementerian tersebut berkata keluarga tentera yang cedera telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Anggota tentera berkenaan adalah dari batalion payung terjun ke-3 Belgium dan sedang mengambil bahagian dalam latihan Red Condor yang disokong oleh Kementerian Pertahanan Britain. – AFP
