DARWIN, AUSTRALIA, 27 OGOS – Tiga anggota Tentera Marin Amerika Syarikat terbunuh hari ini apabila sebuah pesawat Osprey terhempas di sebuah pulau tropika terpencil semasa latihan perang di utara daratan utama Australia, kata pegawai tentera Amerika Syarikat (AS).
Pasukan penyelamat bekerja keras dalam keadaan gelap untuk memindahkan tentera yang selamat dari tapak kemalangan yang terpencil, dengan pegawai AS menyatakan bahawa lima anggota kru telah dihantar ke Hospital Diraja Darwin dalam ‘keadaan serius’.
Pegawai tentera AS dalam kenyataan memaklumkan bahawa ‘terdapat 23 kakitangan di atas kapal’ pada masa kemalangan dan tentera Australia berkata hanya warga Amerika yang terlibat.
Usaha menyelamat mangsa menjadi rumit disebabkan lokasi nahas – Pulau Melville yang terpencil dan mempunyai populasi kecil yang terletak kira-kira 60 kilometer dari utara bandar terdekat, Darwin.
Osprey – gabungan antara helikopter dan pesawat yang mengambil bahagian dalam latihan Predators Run, satu siri latihan perang membabitkan ribuan askar AS dan Australia, selain tentera lain dari Indonesia dan Filipina.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Menteri Pertahanan, Richard Marles menyampaikan ‘takziah’ kepada keluarga tentera AS yang terbunuh.
“Insiden ini adalah peringatan tentang kepentingan perkhidmatan yang dijalankan oleh kakitangan kami dan negara rakan kongsi kami,” kata kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama.
Albanese sebelum ini menyifatkan kejadian itu sebagai tragis dan amat dikesali, namun menegaskan pihak berkuasa masih berusaha mencari punca kejadian.
Pihak berkuasa tempatan berkata Hospital Diraja Darwin telah mengaktifkan amaran kecemasan tertinggi apabila kakitangan unit rawatan intensif bersiap sedia menerima anak kapal yang cedera. – AFP


