SEMPORNA, 31 JAN – Keselamatan, kesihatan dan pendidikan menjadi teras keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan Sabah dan memastikan rakyat sejahtera, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.
Beliau berkata tanpa ketiga-tiga teras itu, usaha kerajaan untuk memajukan negeri akan berdepan kesukaran dan ia juga memerlukan kerjasama semua pihak.
Dari aspek kesihatan misalnya, beliau berkata jika ramai rakyat yang sakit, ia akan menyebabkan perbelanjaan lebih tinggi terpaksa ditanggung kerajaan untuk membeli ubatan dan memerlukan doktor pakar.
“Perkara ini boleh dielakkan sekiranya rakyat menjaga kesihatan dan peruntukan yang ada boleh disalurkan untuk kegunaan lain seperti membaiki jalan raya termasuk bangunan sekolah, jika tiga teras itu diutamakan, apa yang dirancang kerajaan negeri sudah pasti memberi perubahan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan van sebagai balai polis bergerak kepada Balai Polis Pulau Bum Bum dekat sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
Jaujan turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat berkaitan 2019 novel koronavirus demi menjaga ketenteraman awam. – Bernama