AMARILLO, Texas, 30 April – Sekurang-kurangnya tiga terbunuh selepas sebuah ambulans udara terhempas di selatan Lapangan Terbang Amarillo, semalam.
Pegawai Jabatan Keselamatan Awam Texas, Sarjan Cindy Barkley, berkata pesawat satu enjin itu terhempas pada kira-kira jam 12:30 tengah malam (waktu tempatan) di kawasan perindustrian yang terletak antara Lapangan Terbang Antarabangsa Rick Husband Amarillo dan Interstate 40.
Barkley berkata, semua yang berada dalam pesawat malang itu maut di tempat kejadian.
Sementara itu, syarikat pengendali perkhidmatan ambulans, Rico Aviation yang berpangkalan di Amarillo dalam satu kenyataan mengesahkan kematian tiga kru terbabit, namun enggan mendedahkan nama mangsa. Pekerja syarikat terbabit yang dihubungi The Associated Press semalam, juga enggan memberikan sebarang komen.
Dalam pada itu, jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, Lynn Lunsford, berkata pesawat itu terhempas sebaik sahaja berlepas dari lapangan terbang itu dan dalam penerbangan menuju ke Clovis, New Mexico. – AP