BANGKOK, 19 MEI – Tiga orang maut dan beberapa lagi cedera selepas dipanah petir ketika melawat kompleks kuil terkenal Angkor Wat di Kemboja.
Mangsa dipercayai sedang berteduh berhampiran kuil utama tapak Warisan Dunia UNESCO itu apabila disambar petir pada lewat petang Jumaat.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan dua buah ambulans tiba selepas kejadian, manakala orang awam dan petugas tapak bergegas membantu mangsa, termasuk mengusung mangsa cedera dan mengiringi yang lain berjalan keluar. Beberapa imej lain turut menunjukkan mangsa sedang menerima rawatan di hospital.
Sehari selepas insiden itu, Menteri Pelancongan Kemboja, Hout Hak mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai memadam hantaran dalam talian mengenai kejadian tersebut, dengan alasan penyebaran ‘maklumat negatif’ boleh menjejaskan sektor pelancongan negara.
Pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang maklumat rasmi mengenai kejadian itu, namun seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali atas faktor sensitiviti mengesahkan kepada Associated Press bahawa tiga mangsa – kesemuanya warganegara Kemboja – terbunuh akibat dipanah petir. – AP
