GUANGZHOU, 19 MEI – Seramai tiga orang maut manakala seorang lagi masih hilang selepas kejadian tanah runtuh melanda sebuah bangunan tiga tingkat di wilayah Guangdong, selatan China awal pagi kelmarin, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan, hari ini.
Menurut Biro Pengurusan Kecemasan Gaozhou, insiden berlaku kira-kira 7 pagi di Kampung Pingtougang, bandar Gaozhou, mengakibatkan tujuh individu tertimbus.
Kejadian berlaku kira-kira 20 meter di belakang bangunan itu.
Seramai enam mangsa berjaya diselamatkan namun tiga daripada mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.
Tiga lagi mangsa kini dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan seorang mangsa yang masih hilang, membabitkan lebih 140 anggota polis, bomba dan pasukan perubatan. – Bernama
