MADRID, 13 OGOS – Tiga lelaki terkorban dan beribu-ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka kelmarin ketika kebakaran hutan yang berpunca daripada gelombang haba melanda selatan Eropah.
Amaran haba dikeluarkan di Itali, Perancis, Sepanyol, Portugal dan Balkan, dengan suhu dijangka melonjak melebihi 40 darjah Celsius (C).
Gelombang haba adalah satu lagi tanda perubahan iklim, yang mencetuskan kejadian haba melampau yang lebih lama, lebih teruk dan semakin kerap.
“Disebabkan perubahan iklim, kita kini hidup dalam dunia yang jauh lebih panas,” beritahu Akshay Deoras, seorang saintis penyelidikan di Jabatan Meteorologi di Universiti Reading di Britain kepada AFP, sambil menambah bahawa masih ramai yang memandang ringan risiko itu.
Seorang pekerja pusat ekuestrian Sepanyol meninggal dunia akibat kecederaannya di Tres Cantos, pinggir bandar kaya di utara Madrid, kata pegawai dilaporkan ketika dia cuba menyelamatkan kuda.
Seterusnya pegawai di Castile dan Leon di barat laut Sepanyol mengesahkan seorang lagi lelaki terbunuh semasa memadamkan kebakaran.
Manakala seorang tentera di negara Balkan di Montenegro maut dan seorang lagi cedera parah apabila lori tangki air mereka terbalik ketika berusaha untuk memadamkan kebakaran hutan di bukit di utara ibu negara, Podgorica.
Seorang kanak-kanak juga terbunuh akibat strok haba di Itali Isnin lalu. – AFP


