ANKARA, 20 JULAI – Tiga buah trak yang membawa ubat-ubatan penting dan bekalan perubatan dijangka memasuki Semenanjung Gaza hari ini, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, ketika hospital-hospital di wilayah terkepung itu bergelut untuk menangani jumlah mangsa yang terlalu ramai dan sumber yang semakin berkurangan akibat pengeboman berterusan oleh Israel sejak Oktober 2023.
Menurut agensi Anadolu (AA), trak yang diselaraskan melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu tidak membawa bekalan makanan sebaliknya mengandungi barangan penting yang sangat diperlukan untuk meneruskan rawatan menyelamatkan nyawa bagi mereka yang cedera dan pesakit di seluruh sistem penjagaan kesihatan Gaza yang terjejas teruk,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa menggesa semua pihak yang berkaitan untuk ‘memastikan perlindungan konvoi itu dan membolehkan ketibaannya ke hospital dengan selamat dan tanpa gangguan’.
Sektor kesihatan di Gaza berada di ambang kelumpuhan sepenuhnya, dengan hospital tidak lagi mampu menampung pesakit dan beroperasi dalam keadaan kekurangan melampau akibat sekatan dan pengeboman berbulan-bulan oleh Israel.
Menurut WHO, daripada 36 hospital di Gaza, hanya 18 yang masih beroperasi sebahagian dan lebih 10,000 orang di wilayah terkepung itu memerlukan pemindahan perubatan. – Bernama
