ARGENTINA, 26 SEPT – Penyeksaan kejam dan pembunuhan dua wanita serta seorang gadis, yang disiarkan secara langsung di Instagram, telah menggemparkan Argentina kelmarin, di mana penyiasat mengesyaki perbuatan itu merupakan hukuman oleh ketua kartel dadah.
Pada Rabu, mayat Morena Verdi, 20, Brenda Del Castillo, 20, dan Lara Morena Gutierrez, 15, ditemui di sebuah kediaman di pinggir selatan Buenos Aires.
Mereka diseksa dan dibunuh secara langsung di Instagram, dengan siaran itu ditonton oleh 45 ahli akaun persendirian, kata Menteri Keselamatan wilayah Buenos Aires, Javier Alonso, pada sidang media malam Rabu.
Alonso berkata empat individu telah ditahan berhubung pembunuhan itu, namun media tempatan kelmarin melaporkan jumlah itu meningkat kepada 12. Mangsa telah hilang selama lima hari.
Beliau berkata mereka telah diperdaya untuk masuk ke dalam van pada malam Jumaat lalu di kawasan La Tablada, kira-kira 20 kilometer dari selatan Buenos Aires, atas alasan palsu.
Mayat mereka kemudian ditemui di sebuah rumah di Florencio Varela, kira-kira sejam ke tenggara La Tablada.
Menurut analisis forensik awal, mangsa yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pemimpin kartel di kawasan komersial Flores, Buenos Aires, dibunuh pada hari mereka hilang.
Polis menemui siaran Instagram itu selepas seorang daripada tahanan mendedahkannya semasa soal siasat, kata Alonso.
Waran tangkap telah dikeluarkan untuk ketua kartel yang disyaki, berusia sekitar 23 tahun dan digelar sebagai ‘Little J’ atau ‘Julito’, tambah Alonso. – AFP


