KREFELD, 2 JAN – Tiga wanita sedang disiasat kerana melepaskan tanglung kertas pada Tahun Baharu yang disyaki menyebabkan kebakaran dahsyat yang meranapkan zoo di German, membunuh lebih daripada 30 ekor binatang.
Tiga wanita tempatan iaitu seorang ibu berserta dua orang anak perempuannya berusia di antara 30 ke 60 tahun hadir di balai polis di bandar barat Krefeld semasa Tahun Baharu selepas pihak berkuasa mengadakan sidang akhbar mengenai kebakaran tersebut, kata ketua polis jenayah, Gerd Hoppmann.
Wanita itu disiasat kerana disyaki melakukan pembakaran cuai, kata pendakwa Jens Frobel. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun.
Penduduk Jerman mengalu-alukan kedatangan Tahun Baharu dengan bunga api pada tengah malam. Walau bagaimanapun, pelepasan tanglung ke langit menyalahi undang-undang dan tidak menjadi kebiasaan di Jerman. Belon udara mini yang diperbuat daripada kertas telah digunakan di Asia selama berabad-abad.
Kebakaran bermula di sudut bumbung rumah monyet dan merebak dengan cepat. Zoo yang berhampiran sempadan Belanda berkata rumah monyet itu terbakar dan lebih daripada 30 ekor binatang turut terbakar termasuk lima ekor orang hutan, dua gorilla, seekor chimpanzee dan beberapa monyet. Turut terbunuh adalah kelawar dan unggas. – AP
