Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Tiga wanita tempatan berumur antara 27 hingga 37 tahun telah ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral melibatkan tawaran perkhidmatan seks secara dalam talian, hasil serbuan ke atas sebuah bilik sewa di kawasan Mukim Gadong, baru-baru ini.
Penahanan dibuat oleh Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang menjalankan serbuan menyasarkan kegiatan haram tersebut.
Menurut kenyataan PPDB, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu, termasuk sejumlah wang tunai, beberapa keping kondom dan beberapa unit telefon bimbit yang dirampas sebagai bahan bukti.
Kesemua suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke JSJ untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22, atas kesalahan menawarkan khidmat seks. PPDB menegaskan komitmen berterusan dalam melaksanakan pemantauan, risikan, dan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras sebarang kegiatan jenayah di negara ini.
Orang ramai diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah dengan menghubungi talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis berdekatan.