Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Tiga wanita yang didakwa melakukan kesalahan kastam, dijatuhi denda oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan denda $30,000 terhadap Patayati, 52, atas tuduhan memiliki 26 karton dan 234 paket rokok di kedai dobi, Kampung Anggerek Desa ketika pemeriksaan dijalankan oleh pegawai pencegah kastam pada 4 November 2017 kira-kira jam 10:10 pagi.
Gagal membayar denda akan menyebabkannya menjalani hukuman enam bulan penjara.
Rene Sangalang Villanueva, 48, dari Filipina pula dijatuhi denda $4,000 atau berdepan hukuman empat bulan penjara kerana memiliki lima karton dan 13 paket rokok ketika pemeriksaan dijalankan pegawai pencegah kastam di kawasan Anggerek Desa, juga pada 4 November 2017.
Sementara itu, Kasnani binti Samadat, 40, dikenakan denda $900 atas kesalahan memiliki sembilan paket rokok,
sebotol arak dan 12 tin minuman keras di dalam keretanya ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 11 Oktober 2017.
Jika gagal membayar denda, dia terpaksa menjalani hukuman sebulan penjara.