DENPASAR, 17 OKT – Tiga warga Australia yang didakwa menembak mati seorang warganegara Australia lain di daerah Badung, Bali awal tahun ini, berdepan tuduhan pembunuhan terancang yang membawa hukuman mati di bawah undang-undang Indonesia.
Ketua Polis Badung, Adjutan Senior Komander Arif Batubara, berkata siasatan terhadap tiga suspek iaitu Darcy Francesco Jenson, 27; Mevlut Coskun, 22; dan Tupou Pasa I Midolmore, 26, telah selesai dan kes berkenaan kini diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Badung untuk tindakan lanjut.
“Kami telah menyerahkan suspek bersama barang bukti kepada pihak pendakwa hari ini,” katanya, sambil menjelaskan siasatan berjalan lancar tanpa halangan besar.
Ketua Pejabat Pendakwa Raya Badung, Sutrisno Margi Utama, memaklumkan ketiga-tiga suspek akan dituduh di bawah Perkara 340 Kanun Keseksaan atas kesalahan pembunuhan terancang serta Perkara 1 Undang-undang Darurat 1951 berhubung pemilikan senjata api secara haram.
“Suspek akan terus ditahan di Penjara Kerobokan sementara menunggu perbicaraan,” katanya.
Mangsa, Zivan Radmanovic, 32, maut ditembak selepas tengah malam pada 14 Jun lalu apabila dua individu bersenjata menyerbu vila miliknya di Badung. Seorang lagi warga Australia, Sanar Ghanim, 34, turut cedera akibat tembakan dalam kejadian berkenaan.
Kedua-dua penyerang dilaporkan tiba dan melarikan diri menaiki motosikal. Saksi memberitahu, suspek memakai jaket menyerupai penunggang penghantaran motosikal (ojol) serta bertopi keledar hitam dan bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Australia. – ANN/The Jakarta Post

