Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga warga Britain seludup kokain berdepan hukuman mati

    DENPASAR, 3 JUN – Perbicaraan terhadap tiga warga Britain yang didakwa menyeludup kokain atau terlibat dalam urusan dadah di pulau pelancongan popular Indonesia, Bali, telah bermula kelmarin.

    Ketiga-tiga mereka berdepan hukuman mati di sebuah negara yang mempunyai undang-undang narkotik antara paling tegas di dunia.

    Indonesia menjatuhkan hukuman berat terhadap kesalahan penyeludupan dadah dan sebelum ini pernah melaksanakan hukuman mati terhadap warga asing, meskipun negara itu telah mengekalkan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati sejak 2017.

    Menurut rekod mahkamah awam, Jonathan Christopher Collyer, 38 dan Lisa Ellen Stocker, 39, telah ditahan pada 1 Februari lalu selepas ditahan di lapangan terbang antarabangsa Bali bersama 17 bungkusan kokain seberat hampir satu kilogram.

    Mereka hadir di mahkamah bersama Phineas Ambrose Float, 31, yang didakwa sepatutnya menerima bungkusan tersebut dan ditahan beberapa hari kemudian.

    Dari kiri, Phineas Float, Jonathan Collyer dan Lisa Stocker sebelum dibicarakan di Mahkamah Daerah Denpasar, Bali, pada 3 Jun. – AP

    Mengikut undang-undang Indonesia, hukuman paling berat bagi penyertaan dalam urusan transaksi dadah juga adalah hukuman mati.

    Seorang wartawan AFP yang berada di mahkamah telah melaporkan perbicaraan bermula kelmarin, namun keputusan dijangka diumumkan pada tarikh akan datang.

    Kedutaan Britain di Jakarta belum memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas oleh AFP.

    Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pentadbiran Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah mengambil langkah untuk memulangkan beberapa banduan berprofil tinggi dan semuanya disabitkan atas kesalahan dadah ke negara asal masing-masing.

    Seorang warga Perancis, Serge Atlaoui, dihantar pulang ke Perancis pada Februari selepas Jakarta dan Paris mencapai persetujuan untuk repatriasinya atas ‘alasan kemanusiaan’ kerana dia menghidap penyakit.

    Indonesia juga telah menghantar pulang lima anggota terakhir sindiket dadah Bali Nine, yang sedang menjalani hukuman penjara berat, ke Australia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda