Tiger Woods pimpin AS menang Piala Presiden

MELBOURNE, AUSTRALIA, 15 DIS – Tiger Woods melakar sejarah baharu apabila muncul sebagai pemenang Piala Presiden, hari ini.

Woods mengakhiri tahun ini dengan kejuaraan ke-15 di Masters sebagai pemain dan mengetuai pasukan AS untuk meraih kemenangan dalam Piala Presiden hari ini di Royal Melbourne.

Kapten pertama beraksi dalam 25 tahun, dia memulakan 12 perlawanan perseorangan dengan mengalahkan Abraham Ancer mencatat rekod Piala Presiden dengan kemenangan ke-27 dan mencatat rentak kemenangan untuk seluruh pasukannya.

Papan markah dipenuhi dengan markah merah Amerika sepanjang perlawanan ketika mereka bangkit daripada ketinggalan dua mata untuk memenangi Piala Presiden buat kali kelapan berturut-turut menewaskan pasukan International.

Matt Kuchar melakukan pukulan leret, 5 kaki untuk birdie yang memberi kepastian dia akan menewaskan Louis Oosthuizen dan memberikan pasukan Amerika 15 1/2 mata yang mereka perlukan untuk menang.

Pemain pasukan AS dan kapten Tiger Woods (tengah) memegang piala kejuaraan selepas pasukan itu memenangi Kejohanan Piala Presiden di Royal Melbourne Golf Club, Melbourne. – AP

“Bagi kami berada di sini, untuk kembali dan memenanginya sebagai se-buah pasukan, tetapi untuk mencapainya bersama Tiger Woods sebagai kapten kami merupakan satu pengalaman besar yang menyeronokkan,” kata Kuchar.

Dengan keputusan mereka 16-14, sekurang-kurangnya ini merupakan satu persaingan. Kemenangan AS dua tahun lalu di Liberty National yang menjadi kebanggaan hampir-hampir berakhir kelmarin.

Kapten International, Ernie Els berhasrat untuk mengubahnya.

Dia mencipta logo baharu untuk pasukan International.

Dia sangat bergantung pada kaedah analitis tetapi ia masih tidak mencukupi.

Els mengimbas kembali Jumaat lepas, ketika Pasukan Amerika memenangi dua perlawanan dengan birdie di lubang ke-18 dan kembali di separuh perlawanan untuk menghalang Pasukan International daripada mendahului perlawanan.

Tetapi pada hari ini, semua yang dilihatnya, momentum pasukan AS tidak dapat dihentikan.

“Kami telah memberikan semua yang kami mampu,” kata Els kepada Woods pada majlis penutup. “Anda adalah pasukan terbaik.” – AP