Wednesday, October 2, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tikam 20 kali: penganggur didakwa bunuh pereka dalaman

    PETALING JAYA, 2 OKT – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman yang maut ditikam 20 kali di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara pada bulan lepas.

    Lim Wah Siong, 50, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

    Lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur pada 9 malam, 14 September lepas. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 8 November ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

    Hasil siasatan polis, kejadian itu berpunca apabila mangsa menyedari suspek memecah masuk rumah beliau untuk mencuri sebelum berlaku pergelutan yang membawa kepada pembunuhan. Susulan itu, polis menahan suspek dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada jam 3 pagi, 21 September lepas kerana disyaki terlibat dalam kejadian terbabit. – Bernama

    Lim Wah Siong didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda