Oleh Nour Maghfirah
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Gara-gara anak lelakinya dimarahi di flat Kampung Belimbing Subok pada 13 Disember lalu, Mas Fadilah bin Pungut menikam ‘Si Jebon’ di dada dengan pisau semasa konfrontasi.
Perkara tersebut didedahkan oleh Pendakwa raya Kamal Ariffin bin Ismail di mahkamah pada Khamis lalu selepas Mas Fadilah mengaku bersalah atas pertuduhan membawa senjata yang boleh menimbulkan kecederaan fizikal di khalayak ramai dan menikam mangsa.
Majistret Abdul ‘Azim bin Othman menetapkan 2 Januari 2024 untuk menjatuhkan hukuman.
Pada jam 4:40 petang hari itu, defendan pergi ke flat tempat tinggal ibunya apabila terdengar ‘Si Jebon’ menjerit pada kanak-kanak yang sedang bermain bola sepak di kawasan lapang di bawah flat tersebut.
Defendan bertanya mengapa ‘Si Jebon’ menjerit dan dia menjawab dia memarahi kanak-kanak itu kerana bimbang mereka mungkin memecahkan tingkap kaca.
Mangsa juga memberitahu dia telah memberikan amaran kepada budak-budak berkenaan tiga hari sebelumnya.
Defendan kemudian menyedari bahawa anaknya adalah antara yang dimarahi.
Dia kemudian memberitahu mangsa supaya jangan marah atas sesuatu yang berlaku beberapa hari lalu.
Kedua-duanya terlibat dalam pertengkaran menyebabkan defendan mengeluarkan pisau lipat, diikuti insiden kejar-mengejar dan pergelutan singkat di antara mereka, sebelum defendan menikam dada mangsa.
Seorang lagi individu yang berada di kawasan itu meleraikan pergaduhan menyebabkan defendan meninggalkan tempat kejadian dengan keretanya.
Mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan defendan tidak lama kemudian.
