Ramai peminat penyanyi G-Dragon hampa apabila tidak dapat membeli tiket konsert Ubermensch 2025 World Tour yang bakal berlangsung pada 19 dan 20 Julai nanti di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Apa lebih membuatkan peminat berang, terdapat individu mengambil kesempatan menjual semula tiket konsert tersebut dengan harga yang tidak masuk akal.
Bagi barisan pertama bahagian VVIP, ia dijual semula dengan harga RM28,000 sedangkan harga asal hanya RM1,339, menurut laporan mStar.
Dalam pada itu, peminat mula meluahkan rasa tidak puas hati di X dan menyifatkan penjualan semula tiket konsert dengan harga berganda adalah sangat melampau.
“Nampaknya ada rekod terbaharu untuk harga tiket konsert paling mahal. Barisan VVIP 1 berharga RM28,000, malah kerusi di CAT1 juga meningkat sehingga RM4,000,” tulis warganet.
Konsert ini adalah sebahagian daripada Ubermensch World Tour yang akan membawa G-Dragon ke beberapa negara di seluruh dunia seperti Jepun, Indonesia, Hong Kong dan Taiwan.
Tiket bagi kedua-dua hari di Axiata Arena habis terjual sejak ia dibuka untuk jualan sejak kelmarin.
Konsert jelajah itu sebagai menyokong album studio ketiganya berjudul Ubermensch yang dilancarkan pada awal Februari 2025.
G-Dragon juga turut dijadualkan membuat persembahan di Singapura Grand Prix 2025 pada 3 Oktober depan. – Agensi








