LONDON, 11 Jan – Manchester United akan membayar balik sebahagian daripada harga tiket yang bernilai AS$120 yang perlu dibayar oleh penyokongnya untuk menonton perlawanan pertama Liga Juara-Juara fasa 16 menentang Sevilla di Sepanyol, kelab Inggeris itu memaklumkan semalam.
United akan membayar balik 35 pound kepada setiap penyokong yang diambil daripada 89 pound yang perlu dibayar oleh penyokong Sevilla yang berkunjung ke Manchester pada 13 Mac selepas kelab Sepanyol enggan berganjak dari harga yang dikenakan untuk pertembungan 21 Februari nanti.
Ini bermakna penyokong United hanya perlu membayar 54 pound, harga sama yang dibayar oleh penyokong Liverpool semasa menyaksikan perlawanan di Sevilla dalam peringkat kumpulan yang lalu.
“Dalam hal ini, kami percaya penyokong kami dilayan tidak adil susulan harga tiket yang dikenakan dari kelab tuan rumah,” menurut kenyataan Manchester United.
“Kami banyak menerima permintaan dari beberapa individu dan kumpulan penyokong untuk menangani hal ini.
“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Sevilla namun Sevilla tidak bersetuju untuk menurunkan harga tiket untuk penyokong kami dengan harga tiket yang lebih munasabah.”
Menurut United, ia akan menjadi adil apabila mengenakan bayaran kepada penyokong lawan dengan nilai yang sama.
“Oleh itu, kami perlu membuat keputusan yang sukar untuk mengenakan bayaran kepada penyokong Sevilla untuk pertembungan kedua di Old Trafford dengan harga yang sama seperti yang dikenakan ke atas penyokong kami. – AFP