LONDON, 4 APRIL – Pengawal selia data Britain berkata hari ini bahawa ia telah mendenda TikTok £12.7 juta (AS$15.9 juta) kerana membenarkan sehingga 1.4 juta kanak-kanak bawah 13 tahun menggunakan platform media sosialnya yang melanggar peraturannya sendiri.
Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO) berkata firma milik China itu melanggar undang-undang United Kingdom kerana gagal mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga untuk menggunakan data kanak-kanak, selepas mereka mendaftarkan akaun walaupun terlalu muda.
TikTok mempertikaikan penemuan ICO, yang menambah kesulitannya selepas gelombang larangan oleh kerajaan Barat terhadap penggunaan platform pada peranti rasmi, kerana kebimbangan bahawa data itu boleh diakses oleh Beijing.
“Kami akan terus menyemak keputusan itu dan sedang mempertimbangkan langkah seterusnya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
“Kami banyak melabur untuk membantu menghalang mereka yang di bawah umur 13 tahun daripada platform dan pasukan keselamatan kami yang berjumlah 40,000 bekerja sepanjang masa untuk membantu menjaga keselamatan platform bagi komuniti kami,” katanya.
Namun TikTok mengalu-alukan keputusan ICO untuk mengurangkan denda daripada £27 juta, yang mana pengawal selia sebelum ini memberi amaran mungkin akan dikenakan.
Syarat perkhidmatan platform perkongsian video popular itu tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun untuk membuka akaun. Tetapi ICO berkata TikTok telah gagal menjalankan pemeriksaan yang mencukupi untuk menghalang perkara itu berlaku di Britain, dan sehingga 1.4 juta kanak-kanak terjejas pada 2020.
“Ini bermakna data mereka mungkin telah digunakan untuk menjejaki dan memprofilkan mereka, yang berpotensi memberikan kandungan yang berbahaya dan tidak sesuai pada skrol mereka yang seterusnya,” kata Pesuruhjaya ICO, John Edwards. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P12-A-paper-web_05042023.jpg)