LONDON, 4 MEI – Badan pemantau privasi Kesatuan Eropah (EU) mendenda TikTok 530 juta euro (AS$600 juta) pada Jumaat selepas siasatan selama empat tahun mendapati pemindahan data aplikasi perkongsian video itu ke China, meletakkan pengguna berdepan risiko pengintipan, justeru melanggar peraturan privasi data EU yang ketat.
Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland juga menyekat TikTok kerana tidak telus dengan pengguna tentang lokasi data peribadi mereka dihantar dan mengarahkan syarikat itu mematuhi peraturan dalam tempoh enam bulan.
Badan pemantau kebangsaan Ireland berfungsi sebagai pengawal selia privasi data utama TikTok di 27 negara EU kerana ibu pejabat Eropah syarikat itu berpangkalan di Dublin.
“TikTok gagal mengesahkan, menjamin dan membuktikan bahawa data peribadi pengguna (Eropah), yang diakses dari jauh oleh kakitangan di China, diberikan tahap perlindungan yang pada asasnya setara dengan yang dijamin dalam EU,” kata Timbalan Pesuruhjaya, Graham Doyle dalam satu kenyataan.
TikTok berkata ia tidak bersetuju dengan keputusan itu dan merancang untuk merayu.
Syarikat itu berkata dalam catatan blog bahawa keputusan itu memfokuskan pada ‘tempoh terpilih’ yang berakhir pada Mei 2023, sebelum ia memulakan projek penyetempatan data dipanggil Projek Clover yang melibatkan pembinaan tiga pusat data di Eropah.
“Hakikatnya Projek Clover mempunyai beberapa perlindungan data paling ketat dalam industri, termasuk pengawasan bebas yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh NCC Group, firma keselamatan siber terkemuka Eropah,” kata Christine Grahn, ketua dasar awam dan perhubungan kerajaan Eropah TikTok.
“Keputusan itu gagal mempertimbangkan sepenuhnya langkah keselamatan data yang besar ini.”
Grahn berkata TikTok ‘tidak pernah menerima permintaan untuk data pengguna Eropah daripada pihak berkuasa China, dan tidak pernah memberikan data pengguna Eropah kepada mereka.’ – AP
