Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    TikTok dituduh guna kaedah pengiklanan agresif

    BRUSSELS, 30 MEI – Kesatuan Eropah (EU) berkata baru-baru ini bahawa TikTok mesti mengatasi kebimbangan mengenai kaedah periklanan agresif yang menyasarkan kanak-kanak dalam kes yang dilancarkan oleh pihak berkuasa pengguna di beberapa negara anggota.

    Suruhanjaya Eropah berkata aplikasi perkongsian video popular itu diberikan masa satu bulan untuk memberikan respons, berkata ‘pengiklanan tersembunyi, teknik pengiklanan agresif yang menyasarkan kanak-kanak, dan syarat-syarat kontrak tertentu dalam dasar TikTok menimbulkan isu membimbangkan’.

    TikTok telah berdepan banyak kes seumpama itu di seluruh dunia, dan dakwaan EU timbul sebulan selepas Britain menuduh aplikasi perkongsian video itu mengumpul data peribadi daripada jutaan kanak-kanak di Eropah.

    Kes oleh eksekutif EU dikemukakan selepas Pertubuhan Pengguna Eropah (BEUC) memberikan petanda mengenai pencabulan hak pengguna EU oleh TikTok pada Februari.

    Menyiasat kes yang dilancarkan oleh Ireland dan Sweden, BEUC berkata TikTok gagal ‘melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pengiklanan tersembunyi dan isi kandungan yang memudaratkan di platformnya.’

    Ia merujuk kepada penggunaan influencer dalam talian untuk mempromosi jenama, tetapi dengan isi kandungan komersial disembunyikan daripada pengguna muda.

    BEUC juga berkata sistem hadiah maya yang beroperasi di TikTok menimbulkan ancaman kepada kanak-kanak.

    Sebagai respons, TikTok berkata ia tidak akan menawarkan hadiah maya kepada golongan di bawah umur 18 tahun dan semua akaun milik remaja di bawah 16 tahun bukan lagi akaun privasi.

    Caroline Greer, pengarah dasar awam TikTok Eropah, berkata syarikat sedang berunding dengan pihak berkuasa di Ireland dan Sweden dan akan ‘membincang langkah-langkah yang telah diperkenalkan.’ – AFP

    Gambar fail menunjukkan logo aplikasi TikTok di Tokyo. Suruhanjaya Eropah berkata ia telah memberikan TikTok sebulan untuk menjawab aduan daripada kumpulan pengguna Eropah mengenai pencabulan hak pengguna. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda