Sunday, September 29, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiktok gagal ‘ujian maklumat palsu’ sebelum pilihan raya Eropah

    PARIS, 4 JUN – Rangkaian sosial yang popular, TikTok, telah meluluskan iklan yang mengandungi maklumat palsu politik menjelang pilihan raya Eropah, menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

    Tindakan itu melanggar garis panduan TikTok sendiri dan menimbulkan persoalan tentang keupayaannya untuk mengesan maklumat palsu dalam pilihan raya.

    Kumpulan kempen antarabangsa, Global Witness, mencipta 16 iklan yang menyasarkan pengundi Ireland dengan maklumat palsu mengenai pilihan raya Kesatuan Eropah (EU) minggu ini dan cuba mendapatkan kelulusan daripada tiga platform – TikTok, YouTube milik
    Google, dan X (dahulunya Twitter) milik Elon Musk.

    TikTok, yang amat popular dalam kalangan pengundi muda, meluluskan kesemua 16 iklan untuk diterbitkan, YouTube mengesan 14 iklan manakala X menapis semua iklan dan menggantung akaun palsu kumpulan itu, kata Global Witness dalam laporannya.

    “TikTok telah gagal teruk dalam ujian ini,” kata Henry Peck, seorang ahli kempen di Global Witness, kepada AFP.

    Iklan palsu yang diserahkan oleh kumpulan itu bulan lalu, semuanya mengandungi kandungan yang boleh menjejaskan proses pilihan raya – termasuk amaran kepada pengundi untuk tinggal di rumah kerana risiko keganasan pilihan raya dan peningkatan penyakit berjangkit.

    Iklan-iklan itu juga termasuk notis palsu yang menaikkan umur pengundian sah kepada 21 tahun dan rayuan untuk orang ramai mengundi melalui e-mel, yang tidak dibenarkan dalam pilihan raya Eropah.

    Dalam respons TikTok kepada kajian itu, yang dikongsi oleh Global Witness dengan AFP, platform itu mengakui iklan tersebut melanggar dasar mereka. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda