Saturday, February 15, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    TikTok kembali ke gedung aplikasi Apple, Google

    WASHINGTON, 14 FEB – Aplikasi media sosial milik China, TikTok, telah kembali ke gedung aplikasi Apple dan Google selepas hampir sebulan dilarang berikutan pelaksanaan undang-undang keselamatan baharu, yang memaksanya dikeluarkan dari pasaran, wartawan AFP mengesahkan kelmarin.

    Platform video yang popular itu berdepan dengan risiko larangan di Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan keselamatan negara mengenai data yang dikumpulkan daripada penggunanya.

    Aplikasi itu hilang dari gedung aplikasi pada 18 Januari lalu, mengecewakan jutaan penggunanya.

    Perkhidmatan tersebut dipulihkan selepas Presiden AS, Donald Trump, memulakan penggal kedua pentadbirannya dan mengarahkan penggantungan selama 75 hari terhadap penguatkuasaan undang-undang tersebut, yang telah ditandatangani oleh pendahulunya, Joe Biden dan diluluskan sebulat suara oleh Kongres.

    Namun, Apple dan Google belum menyediakan TikTok di gedung aplikasi mereka sehingga kini. Larangan terhadap TikTok diluluskan berikutan kebimbangan bahawa kerajaan China mungkin menggunakan aplikasi itu untuk mengintip warga AS atau secara diam-diam mempengaruhi pendapat awam di AS melalui pengumpulan data dan manipulasi kandungan.

    Gambar AFP

    Kerajaan AS mengarahkan syarikat tersebut untuk melepaskan pemilikannya dari ByteDance, syarikat induk China, atau berisiko diharamkan.

    Trump mencadangkan satu usaha sama antara AS dan ByteDance, walaupun beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai bagaimana ia boleh dilaksanakan.

    “Secara asasnya, dengan TikTok, saya mempunyai hak untuk menjual atau menutupnya,” kata Trump selepas mengarahkan penggantungan tersebut.

    “Kami mungkin perlu mendapatkan kelulusan daripada China juga… tetapi saya yakin mereka akan meluluskan perkara ini atau ia akan menjadi tindakan bermusuhan yang boleh dibalas dengan tarif,” tambahnya.

    Syarikat yang melanggar undang-undang itu, yang masih berkuat kuasa secara rasmi, berdepan dengan penalti sehingga AS$5,000 bagi setiap pengguna jika aplikasi tersebut diakses. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda