BANGKOK, 28 FEB – TikTok merancang untuk melabur sebanyak AS$8.8 bilion (300 bilion baht) di Thailand dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital, latihan tenaga kerja dan inisiatif keselamatan dalam talian.
Pelaburan besar oleh syarikat milik ByteDance dari China itu menjadikan TikTok sebagai syarikat teknologi terbaharu yang mengumumkan projek perbelanjaan besar di Thailand, selepas Amazon, Google dan Microsoft.
Timbalan Presiden Dasar Awam TikTok, Helena Lersch, bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di Bangkok hari ini bagi membincangkan rancangan pengembangan syarikat itu.
“Kami di sini hari ini untuk mengumumkan pelaburan bernilai AS$8.8 bilion,” kata Lersch kepada Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut.
Paetongtarn menyambut baik pelaburan itu sebagai satu peluang besar bagi pembangunan infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) di Thailand.
Pelaburan TikTok itu merangkumi program latihan untuk perniagaan dan pencipta kandungan, kempen anti-penipuan serta perkhidmatan menghoskan data baharu bagi meningkatkan keupayaan pengkomputeran awan di Thailand.
Belum jelas sama ada jumlah pelaburan itu termasuk AS$3.8 bilion yang telah diluluskan oleh Lembaga Pelaburan Thailand pada akhir Januari. – AFP
