WASHINGTON, 15 JULAI – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok, Shou Chew, memohon mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Luar Kanada, Melanie Joly bagi membincangkan arahan penutupan operasi syarikat itu yang dikenakan oleh kerajaan Kanada.
“Saya menulis kepada awda untuk memohon satu pertemuan segera berhubung penamatan TikTok Kanada yang telah diarahkan oleh Kerajaan Kanada,” kata Shou dalam surat bertarikh 2 Julai itu. “Saya memohon agar satu pertemuan secara bersemuka dapat diadakan dengan awda dalam tempoh dua minggu akan datang bagi membincangkan situasi mendesak ini.”
Shou memberi amaran bahawa tanpa campur tangan Joly, TikTok terpaksa menutup operasinya di Kanada sepenuhnya. Semua kakitangan tempatan akan diberhentikan, dan syarikat bukan sahaja perlu menghentikan pelaburan berjumlah ‘ratusan juta’ dolar tetapi juga sokongan kepada pencipta kandungan dan budaya Kanada.
Beliau turut berhujah bahawa keputusan untuk menutup pejabat TikTok Kanada di seluruh negara telah dibuat oleh kerajaan terdahulu dalam situasi yang berbeza dan keadaan semasa tidak lagi mencerminkan realiti tersebut.
“Kami yakin kebimbangan Kanada boleh ditangani melalui protokol keselamatan data yang dipertingkat bagi data pengguna Kanada, disahkan oleh pihak ketiga yang dipercayai; serta menerusi langkah ketelusan dan pemantauan tambahan bagi meningkatkan akauntabiliti dalam isu seperti keselamatan dalam talian, pilihan raya dan campur tangan asing,” kata Shou.
November lalu, kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Justin Trudeau telah mengarahkan penutupan cawangan TikTok di Kanada, TikTok Technology Canada, atas alasan risiko terhadap keselamatan negara. Awal 2023, Ottawa juga melarang penggunaan aplikasi media sosial itu di semua peranti keluaran kerajaan persekutuan dengan alasan ia menimbulkan risiko terhadap privasi dan keselamatan. – Bernama/Sputnik/RIA Novosti
