TikTok tubuh ‘dana pencipta’ AS$200 juta

SAN FRANCISCO, 24 JULAI – TikTok mengumumkan rancangan untuk menubuhkan ‘dana pencipta’ berjumlah AS$200 juta untuk menambah isi kandungan dari personaliti media sosial baharu kepada aplikasi perkongsian video yang berkembang pesat itu.

Dana Amerika Syarikat baharu itu akan ‘membantu menyokong pencipta yang ingin mendapatkan peluang untuk memperoleh mata pencarian menerusi isi kandungan inovatif mereka,” kata Vanessa Pappas, pengurus besar TikTok AS.

Tindakan itu diambil tatkala TikTok melihat momentum kukuh, terutamanya dalam kalangan pengguna telefon pintar muda walaupun tatkala penggubal undang-undang dan pegawai AS mempertingkat amaran mengenai hubungannya dengan China.

Pappas berkata dengan dana itu, ‘pencipta kami boleh memperoleh pendapatan tambahan yang membantu memberikan ganjaran kepada dedikasi yang dicurahkan oleh mereka dalam menghubungkan bersama penonton yang berasa terinspirasi oleh idea mereka.”

Dana itu akan dibuka pada Ogos kepada pemohon AS berusia 18 tahun ke atas yang mempunyai platform, dan menyiar isi kandungan asli sejajar dengan garis panduan komunitinya.

Tindakan itu mungkin membantu menambah minat dalam TikTok, yang telah melihat jumlah penggunanya meningkat kepada satu bilion.

Sehingga sekarang, TikTok telah menggunakan model Instagram milik Facebook, yang membenarkan pencipta menyiar video tajaan tetapi tanpa ganjaran daripada platform.

TikTok berkata pada minggu ini ia merancang menambah kira-kira 10,000 pekerjaan AS dalam tempoh tiga tahun akan datang tatkala ia bergelut menyelesaikan aduan mengenai hubungannya dengan China. – AFP

Gambar fail menunjukkan pengguna telefon pintar India melayari aplikasi perkongsian video TikTok di Amritsar. TikTok mengumumkan akan menubuh dana pencipta AS$200 juta untuk menarik isi kandungan lebih inovatif. – AFP