Monday, October 21, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tikus, memerang ‘merayau’ di kabin bongkar kegiatan seludup

    BANGKOK, 6 OKT – Thailand telah menggantung kerja kakitangan lapangan terbang selepas seorang pengembara menyeludup lebih 30 haiwan hidup termasuk dua anak memerang ke dalam pesawat yang berlepas ke Taiwan.

    Kurungan khas yang mengandungi 28 ekor anak kura-kura dan seekor marmot telah dirampas ketika pesawat Thai Vietjet mendarat di lapangan terbang Taoyuan Taipei pada Rabu.

    Insiden penyeludupan itu terbongkar selepas beberapa haiwan di dalam ‘bagasi’ luar biasa itu melarikan diri dan ditemui merangkak di sekitar kabin pesawat, lapor media tempatan.

    apangan terbang Suvarnabhumi Bangkok berkata haiwan-haiwan itu terlepas daripada pemeriksaan atas kesilapan manusia.

    Beberapa penumpang yang hendak ke bilik air terserempak dengan seekor tikus albino besar bermata merah di dalam penerbangan tersebut, menurut laman Daily Mail.

    Anak memerang antara haiwan yang dirampas oleh pegawai kastam Taiwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan pada 4 Oktober. – AFP
    Antara haiwan di seludup yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa. – AFP

    Pramugari yang menggelabah terus memeriksa pesawat dan menyedari ada haiwan liar kedua, anak memerang di bawah kerusi.

    Rakaman menunjukkan anak memerang tersebut bergolek-golek di lantai dekat kerusi sebelum kru menenangkan situasi dengan para penumpang berdiri di atas kerusi mereka.

    “Kami telah meneliti CCTV dan mendapati penyeludup adalah dua warga asing yang telah diimbas bagasi mereka melalui mesin X-ray,” kata lapangan terbang itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin kepada AFP.

    “Salah seorang kakitangan berasa curiga jadi mereka menugaskan seorang lagi untuk membuka bagasi. Bagaimanapun, mereka tidak memeriksa bagasi dan membenarkan penumpang masuk.”

    Anggota kakitangan yang gagal memeriksa beg itu dengan betul telah digantung kerja sementara siasatan dijalankan, menurut lapangan terbang itu.

    Pihak berkuasa Taiwan berkata mereka sedang menyiasat dua suspek penyeludup.

    Thailand ialah hab transit utama bagi penyeludup hidupan liar yang sering menjual haiwan tersebut ke China dan Vietnam. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda