NEW DELHI, 12 Januari 2012 – Seorang warga emas yang menghidap lumpuh dikatakan menjadi mangsa serangan tikus yang menggigit telinga, bibir, pipi serta kakinya di sebuah hospital kerajaan di Jodhpur, Rajasthan.
Lelaki berusia 70 tahun itu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Mathura Das Mathur, dikatakan digigit tikus pada awal pagi selasa ketika kakitangan hospital sedang nyenyak tidur, menurut laporan media setempat.
“Pesakit mengalami kecederaan di kedua-dua telinga, hidung, bibir dan pipi. Tiub ventilator juga didapati digigit. Satu lubang ditemui pada dinding ICU di mana tikus itu dapat dilihat keluar masuk,” kata seorang doktor kepada agensi berita setempat.
Pihak berkuasa menjalankan siasatan susulan aduan keluarga pesakit yang mengesan kece-deraan pada anggota badan warga emas itu.
Penyelia hospital, Arvind Mathur berkata sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut tetapi tidak mengesahkan kejadian itu disebabkan serangan tikus.
“Kami juga telah meminta bantuan pakar bagi mengatasi masalah tikus,” katanya.
Disember lepas, seorang pesakit di hospital kerajaan di Kolkata, Bengal Barat maut selepas alat kelaminnya putus digigit tikus.