Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tikus tertua menangi anugerah Guinness

    SAN DIEGO, 9 FEB – Seekor tikus kecil California kini mempunyai gelaran besar selepas memenangi Rekod Dunia Guinness kerana umur panjang.

    Tikus poket Pasifik bernama Pat – sempena pelakon Star Trek, Patrick Stewart – menerima pengiktirafan Guinness semalam sebagai tikus hidup tertua dalam jagaan manusia pada usia 9 tahun dan 209 hari, umum Gabungan Hidupan Liar Zoo San Diego selepas majlis penyampaian sijil.

    Pat lahir di Taman Safari Zoo San Diego pada 14 Julai 2013, di bawah program pembiakan pemuliharaan, menurut gabungan itu.

    Tikus poket Pasifik, yang mempunyai berat bersamaan syiling tiga sen, adalah spesies tikus paling kecil di Amerika Utara dan mendapat namanya daripada kantung yang dibawa oleh haiwan untuk membawa makanan dan bahan untuk sarang, kata gabungan hidupan liar itu.

    Tikus itu pernah hidup di kawasan Los Angeles di selatan ke Lembah Sungai Tijuana tetapi jumlahnya merosot selepas 1932 disebabkan pencerobohan manusia dan pemusnahan habitat.

    Tikus berkenaan dipercayai telah pupus selama 20 tahun sehingga populasi kecil ditemui semula pada 1994 di Dana Point di Orange County tetapi spesies itu kekal terancam.

    Pada 2012, gabungan itu memulakan program pembiakan untuk membantu menyelamatkan tikus itu daripada kepupusan dan tahun lalu, 117 anak tikus lahir dalam 31 seperinduk. Kebanyakannya akan diperkenalkan semula ke habitat liar musim bunga ini. – AP

    Gambar serahan Gabungan Hidupan Liar Zoo San Diego menunjukkan tikus poket Pasifik bernama Sir Patrick Stewart. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda