Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tikus wira’ Tanzania bantu kesan bahaya, penyakit TB

    MOROGORO, TANZANIA – Seorang lelaki berbaring tanpa bergerak, membongkok di atas runtuhan gempa bumi, apabila penyelamat tidak dijangka muncul, seekor tikus.

    Tikus itu menelusuri sampah, perabot tumbang dan pakaian berselerak untuk mencari lelaki tersebut, kemudian menekan butang kecemasan pada begnya untuk memberi amaran kepada pasukan mencari yang berada di atas runtuhan.

    Bunyi kecemasan yang kuat memudahkan operasi mencari di Morogoro, di Pergunungan Uluguru, Tanzania untuk menemukan seorang mangsa.

    Selepas operasi selesai, tikus itu kemudian berlari keluar dari bangunan untuk menerima ganjaran berupa pisang. Misi untuk melatih tikus gergasi Afrika ini dalam operasi mencari dan menyelamat telah mencatat kejayaan.

    “Deria bau haiwan ini amat luar biasa,” kata seorang pakar tingkah laku haiwan di APOPO, Fabrizio Dell’Anna. APOPO merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di Tanzania yang melatih tikus untuk tujuan menyelamat nyawa.

    Seekor tikus gergasi Afrika berkantung menjilat snek ketika latihan mengesan tuberkulosis di makmal APOPO, Morogoro, Tanzania. – AP
    Seekor tikus diberi ganjaran selepas berjaya dalam misi latihan. – AP
    Seekor tikus pengesan periuk api melintasi grid latihan di bawah pemantauan pengendali di fasiliti APOPO, Morogoro. – AP
    Tikus terlatih keluar dari runtuhan simulasi gempa bumi semasa latihan mencari dan menyelamat. – AP
    Felista Staneslouas, Ketua Jabatan Hospital Morogoro, bermain dengan seekor tikus di Tanzania. – AP

    “Tikus itu boleh mengesan bahan letupan, tuberkulosis (TB) walaupun dalam jumlah bakteria yang sangat kecil dan dalam projek itu, ia boleh mengenal pasti dan menunjukkan lokasi manusia dengan tepat,” tambahnya.

    Di satu kawasan berdekatan, lebih ba-nyak tikus berjalan dengan tali cawak yang dipegang oleh pengendali, mengesan grid yang dipenuhi dengan ranjau letupan darat sebagai sebahagian daripada inisiatif APOPO, yang bekerjasama dengan Universiti Pertanian Sokoine. Apabila tikus berhenti, ia menunjukkan terdapat bahan letupan di bawah. Tikus-tikus itu bersedia untuk tugasan seterusnya, mungkin di Angola atau Kemboja, di mana APOPO telah membantu membersihkan lebih 50,000 periuk api sejak 2014.

    Daripada mengesan ranjau letupan darat hingga mengesan TB, ‘tikus wira’ itu telah menjadi responden barisan hadapan yang tidak dijangka, malah kadangkala kurang diiktiraf di Tanzania dan negara lain.

    ‘TIKUS WIRA’ TERLATIH DENGAN DERIA BAU SENSITIF

    Selama beberapa dekad, APOPO telah melatih ‘tikus wira’ ini, yang mempunyai salah satu deria bau paling sensitif dalam keluarga haiwan. Sejak 2003, tikus-tikus berkenaan mengesan periuk api dan baru-baru ini, turut digunakan untuk mengenal pasti hidupan liar yang diseludup dan mangsa gempa bumi.

    Tikus mula dilatih sejurus selepas lahir untuk misi tertentu dan dengan jangka hayat lebih panjang daripada tikus biasa hampir satu dekad, tikus-tikus itu boleh menjalankan tugas selama bertahun-tahun.

    Kos latihan bagi setiap tikus ialah sekitar 6,000 euro atau AS$6,990.

    Kesemua latihan dilakukan menggunakan kaedah klasik, jelas Dell’Anna, yang menyelia program mencari dan menyelamat. Kumpulan pertama tikus khas itu sudah ditempatkan di Turkiye bersama organisasi mencari dan menyelamat rakan kongsi.

    MENYOKONG PERJUANGAN GLOBAL MENENTANG TB

    Sementara tikus menumpu pada bahan letupan atau mangsa tertimbus dalam runtuhan mendapat perhatian, namun sekumpulan dalam makmal jelasnya merupakan penyelamat nyawa yang paling berkesan. Ia bukan tikus makmal biasa, sebaliknya dianggap salah satu pengesan TB paling berkesan di dunia.

    “Setiap hari, bilangan kematian akibat TB setara dengan jumlah kematian akibat letupan periuk api dalam setahun,” kata CEO APOPO, Christophe Cox. “Lebih dramatik berada di kawasan periuk api, tetapi untuk TB dari segi impak sosial, kesannya amat besar.”

    TB merupakan penyakit pernafasan yang masih berleluasa walaupun telah dikaji berabad-abad lamanya. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit ini kembali menjadi pembunuh utama dengan 1.25 juta kematian dan 8.2 juta jangkitan pada 2023.

    Di sub-Sahara Afrika, hanya separuh pesakit TB menerima diagnosis, meninggalkan mereka berisiko menyebarkan penyakit. Tanzania mencatatkan beban TB antara yang tertinggi di dunia.

    APOPO mula mengesan TB pada 2007, dan tikus telah dikerahkan di Tanzania, Etiopia dan Mozambique. Organisasi ini bekerjasama dengan 80 hospital di Tanzania, mengumpul sampel setiap hari dan membawanya kepada tikus makmal.

    Dengan deria bau sensitif, tikus mengesan sampel kahak pesakit untuk mengenal pasti kes TB yang sebelumnya negatif. Kajian menunjukkan tikus mengesan enam sebatian organik volatil unik pada sampel TB positif, kata Cox.

    “Kelebihan menggunakan tikus amat besar,” kata Felista Stanesloaus, seorang doktor di klinik TB di Morogoro. “Haiwan itu membantu mengenal pasti kes yang mungkin terlepas, mencegah penyebaran jangkitan.”

    MEMUDAHKAN PENGESANAN TB

    Pengesanan TB kini berkembang dengan penggunaan alat kecerdasan buatan bersama imbasan paru-paru. Namun, kawasan yang paling terjejas TB, seperti kampung pedalaman atau komuniti bandar berpendapatan rendah, tidak mempunyai akses kepada teknologi ini.

    Alat seperti GeneXpert semakin digunakan, tetapi sesebuah klinik mungkin hanya mempunyai satu, mengambil masa dua jam untuk memproses sampel. Klinik yang sibuk kembali menggunakan mikroskopi, kaedah lama yang mudah silap dan memakan masa.

    APOPO boleh mengimbas 100 sampel dalam 20 minit dan sejak program bermula, tikus telah mengenal pasti lebih 30,000 pesakit yang sebelumnya dianggap sihat tetapi sebenarnya menghidap TB.

    Walaupun menggunakan haiwan hidup bukannya peranti perubatan, ia terbukti efektif, terutamanya di pusat bandar padat seperti Dar es Salaam.

    MEMATUHI PIAWAIAN WHO

    Tikus APOPO tidak diiktiraf sebagai alat diagnostik utama oleh WHO, tetapi sebagai garis pertahanan kedua.

    Sebarang sampel positif mesti disahkan melalui mikroskopi manusia sebelum rawatan diberikan.

    “Kami berdepan cabaran besar,” kata Cox. “Tidak diiktiraf WHO bermakna dana utama untuk TB tidak sampai kepada kami.”

    APOPO tetap memilih untuk menumpukan pada setiap kes positif bagi impak sosial maksimum, walaupun mungkin menghasilkan lebih banyak data palsu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda