Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tillerson di Turki bincang mengenai Syria

    ANKARA, 30 Mac – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson bertemu para pemimpin Turki hari ini bagi rundingan yang dibayangi oleh perbezaan ke atas Syria, sehari selepas Ankara mengumumkan penamatan serangan tenteranya di sana.

    Tillerson, pegawai AS paling kanan berkunjung ke Turki sejak Presiden Donald Trump menggalas tugasnya pada Januari, berusaha untuk memperbetulkan hubungan goyah antara sekutu-sekutu NATO.

    Beliau bertemu Presiden Recep Tayyip Erdogan selama dua jam, selepas mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri Binali Yildirim dan Menteri Luar Negeri Mevlut Cavusoglu.

    Lawatan itu muncul selepas Turki mengumumkan ‘Perisai Euphrates’, dalam operasinya di utara Syria, telah berakhir namun tidak mengatakan jika tentera telah berundur dari negara yang dilanda perang itu.

    Hubungan antara Ankara dan Washington menjadi tegang semasa pentadbiran Barack Obama, terutamanya berhubung kerjasama AS bersama militia Kurdish Syria yang bertempur ke atas kumpulan Islamic State (IS).

    Ankara memandang Unit Perlindungan Rakyat Kurdish Syria (YPG) sebagai ‘kumpulan pengganas’ yang berkaitan dengan pemisah Kurdish yang melancarkan pemberontakan di dalam Turki sejak 1984, namun Washington menganggapnya sebagai pasukan terbaik memerangi IS.

    Rex Tillerson (kiri) berjabat tangan bersama Mevlut Cavusoglu di Ankara pada 30 Mac di Syria. – AFP
    Rex Tillerson (kiri) berjabat tangan bersama Mevlut Cavusoglu di Ankara pada 30 Mac di Syria. – AFP

    Turki telah mengatakan ia mahu menyertai mana-mana operasi untuk menawan kubu IS di Raqa namun tanpa penglibatan militia Kurdish.

    Bercakap kepada televisyen NTV menjelang lawatan Tillerson, Yildirim berkata AS belum lagi memaklumkan Turki jika Ankara akan ikut serta dalam kempen Raqa yang dirancang.

    “Perkembangan itu memberi tanggapan bahawa (pentadbiran Trump) sedang mengikut jejak langkah pentadbiran masa lalu,” katanya, merujuk kepada ketegangan sama ke atas Obama selama bertahun-tahun berhubung peranan militia Kurdish Syria.

    “Isu ini akan diberitahu kepada Setiausaha Negara AS tanpa sebarang alasan dan Amerika Syarikat akan ditanya untuk menjelaskan kedudukannya.”

    Tillerson dan Yildirim ‘membincangkan kerjasama untuk meningkatkan hubungan keselamatan dan ekonomi kami yang kritikal di rantau ini,” kata pegawai Jabatan Negara selepas mesyuarat itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda