SYDNEY, 29 Mac – Penjaring terbanyak Australia, Tim Cahill mengumumkan persaraannya hari ini sekali gus menamatkan salah satu karier terbaik dalam sejarah bola sepak negara itu.
Pemain berusia 39 tahun itu menjaringkan 50 gol dalam 108 penampilan bersama skuad Socceroos dan beraksi dalam empat Piala Dunia dan berkata dia tidak akan melanjutkan kontrak selepas menamatkan aksi bersama kelab Indian Super League, Jamshedpur.
Bekas pemain Everton dan Millwall yang bersara daripada bola sepak antarabangsa pada November lalu berkata dia merancang untuk menerokai bidang kejurulatihan.
“Tidak, saya sudah tua sekarang,” beritahunya kepada televisyen Optus Sport.
“Saya berminat untuk beraksi, pada usia 39 tahun, melalui detik yang bagus sepanjang enam bulan di India.
“Tetapi saya lebih berminat dalam TV, akan memulakan lesen A kejurulatihan dan meluangkan masa bersama keluarga dan berehat-rehat.
“Saya akan mengambil masa untuk belajar mengenai kejurulatihan.”
Cahill menghabiskan masa selama 14 tahun di England bersama Millwall dan Everton, menjaringkan lebih 100 gol, dan turut beraksi di Amerika Syarikat, China dan India.
Lahir di Sydney, dia memulakan karier antarabangsa bersama Western Samoa bawah-20 tahun dan menjadi sebahagian daripada skuad Socceroo pada 2014 selepas kempen melobi kepada badan bola sepak dunia FIFA. – AFP
