Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tim Cahill sertai Millwall

    SYDNEY, 30 Jan – Pemain veteran Socceroos, Tim Cahill menyertai semula bekas kelab Millwall dengan kontrak jangka pendek, menurut kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu ketika penyerang itu mahu mencari lebih banyak masa bermain bagi memastikan tempat dalam skuad Piala Dunia.

    Cahill, yang meninggalkan Melbourne City bulan lalu selepas jarang tampil dalam kesebelasan utama sejak menyertai kelab Liga-A itu pada 2016, memainkan peranan penting membantu Australia layak ke Rusia 2018.

    “Saya amat gembira. Saya mempunyai karier hebat sebagai pemain, tapi untuk hadir di sini pada peringkat ini dalam karier saya, dengan mengintai tempat ke Piala Dunia, ia satu suasana profesional,” kata Cahill kepada laman web Millwall, semalam.

    “Romantiknya cerita ini pasti tidak saya lupakan. Saya sering menyatakan jika saya kembali ke England, saya akan pulang ke rumah.”

    Cahill adalah penjaring gol paling prolifik Australia di peringkat antarabangsa dengan 50 gol dan kini mengintai peluang untuk mewakili negaranya buat kali keempat berturut-turut pada Piala Dunia Jun-Julai depan.

    Reaksi Tim Cahill selepas menewaskan Honduras pada perlawanan bola sepak Piala Dunia di Sydney, Australia. Tim Cahill menyertai semula bekas kelab Millwall dengan kontrak jangka pendek. – AP

    Pemain berusia 38 tahun itu akan menyertai skuad Millwall bagi baki musim 2017-18, yang berakhir pada awal Mei sebelum aksi playoff.

    Cahill bermain kali pertama bersama Millwall pada 1998 selepas meninggalkan Australia untuk meneruskan karier dalam bola sepak Inggeris.

    Dia tampil dalam lebih 250 perlawanan bersama Lions sebelum berpindah pada 2004 menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Everton.

    Dia kemudian bermain dengan New York Red Bulls, Shanghai Shenhua dan Hangzhou Greentown. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda